Cubaan Seludup Minyak Masak Bersubsidi Digagalkan

Cubaan Seludup Minyak Masak Bersubsidi Digagalkan

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Cubaan menyeludup lebih kurang 1870 kilogram minyak masak digagalkan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan dua buah Bot Enjin Sangkut tanpa nombor pendaftaran bersama 110 kotak berisi minyak di lokasi tangkapan lebih kurang 0.5 batu nautika selatan PerairanFelda Sahabat, Lahad Datu Sabah jam 1.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, berdasarkan maklumat awal risikan tentang aktiviti penyeludupan minyak masak ke negara jiran, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan operasi penguatkuasaan telah menahan bot berkenaan.

“Anggota penguatkuasa menahan dua bot enjin sangkut itu selepas mendapati bot-bot tersebut dalam keadaan mencurigakan…

“Menyedari kehadiran anggota penguatkuasa tekong bersama awak-awak berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut dan naik di daratan terdekat sewaktu bot merapat ke lokasi,” kata beliau.

Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 52,903 termasuk nilai subsidi ditanggung oleh pihak kerajaan berjumlah RM 8,228.

Menurutnya lagi, aktiviti penyeludupan minyak masak ini akan menyebabkan 1700 keluarga terkesan jika diperuntukkan 2 kilogram untuk satu keluarga.

‘Minyak masak bersubsidi ini diberikan berdasarkan kebenaran dan dibawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Hasil tangkapan tersebut diserahkan kepada Unit Siasatan Zon Maritim Lahad Datu dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961dan Akta Kastam 1967 untuk tindakan lanjut,” katanya.