11 Warga Filipina Ditahan

11 Warga Filipina Ditahan

0
SHARE
Immigresen
Sh Sitti Saleha menunjukkan gambar kenderaan pacuan empat roda yang digunakan bagi menyeludup masuk PATI ke negeri ini ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebelas warganegara Filipina ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar ibu negeri dan Penampang, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Yussof berkata JIM Sabah juga menangkap empat warganegara Malaysia berumur di antara 25 tahun hingga 56 tahun yang disyaki terlibat dengan penyeludupan migran.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan lain-lain kesalahan di bawah Seksyen 55E iaitu membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 26(A) Akta Anti Pemerdangan Orang serta Anti Penyeludupan Migran 2007.

“Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Selain itu, Sh Sitti Saleha turut memaklumkan JIM Sabah telah melaksanakan penghantaran pulang tahanan depot dari seluruh negeri Sabah sebanyak 83 kali sepanjang tahun 2023 iaitu 41 kategori laut dan 42 kategori udara.

“Jumlah keseluruhan tahanan yang telah dihantar pulang ke negara asal adalah sebanyak 8,678 orang.

“Program pemindahan ini dilakukan secara konsisten sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan sehingga 25 Januari 2024, jumlah tahanan depot yang telah dihantar pulang adalah sebanyak 1,529 orang,” ujarnya.

Pada sidang media tersebut, beliau turut mengingatkan orang ramai terutama majikan supaya tidak melindungi atau mengambil PATI sebagai pekerja dan kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat,” jelasnya lagi. — JABATAN PENERANGAN SABAH