Kolaborasi Strategik JaPen, JKNS Promosi ANMS

Kolaborasi Strategik JaPen, JKNS Promosi ANMS

0
SHARE
Japen
Jainisah (enam dari kiri) dan Noorsaadah (lima dari kanan) bergambar kenangan selepas sesi kunjungan hormat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mewujudkan kolaborasi strategik bagi mempromosi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Ketua Penolong Pengarah (KPP) Kanan, Sektor Promosi Kesihatan JKNS, Noorsaadah Omar berkata, ANMS merupakan salah satu agenda negara dan JKNS kini sedang giat melaksanakan promosi di seluruh negeri.

“JKNS yang dalam usaha memperkenalkan ANMS di seluruh negeri berhasrat untuk bekerjasama dengan semua kementerian dan salah satunya adalah JaPen Sabah.

“JaPen merupakan rakan strategik ANMS yang sangat penting kerana dapat membantu dalam menyampaikan mesej kesihatan kepada rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.

“Antara aktiviti terdekat yang akan dilaksanakan adalah Jelajah ANMS dan JKNS akan bekerjasama dengan JaPen dalam penyebaran maklumat berkaitan melalui platform yang disediakan oleh pihak JaPen,” ujarnya selepas sesi kunjungan hormat terhadap Pengarah Penerangan Sabah, Puan Jainisah Mohd Noor di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Isnin.

Selain ANMS, kunjungan tersebut juga bertujuan untuk berkolaborasi dalam mempromosi fasiliti dan program kesihatan yang disediakan oleh JKNS serta penempatan jawatan Kader.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa, KPP Kanan Seksyen Sumber Manusia JKNS, Matian Asli, KPP Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen, Peter Tong Ah Pin, KPP Sektor Promosi Kesihatan JKNS, Amir Hamzah Emang dan KPP Seksyen Kewangan dan Khidmat Pengurusan JKNS, Shevena I Jumin Jeffrey. — JABATAN PENERANGAN SABAH