16 Ditahan Dari Tiga Premis Beroperasi Tanpa Lesen Di Penampang

16 Ditahan Dari Tiga Premis Beroperasi Tanpa Lesen Di Penampang

0
SHARE
Ipd
Polis Daerah Penampang dalam serbuan ke atas premis hiburan beroperasi tanpa lesen ( Sumber Foto: Ihsan IPD Penampang )

PENAMPANG, SABAH – Seramai 16 orang ditahan dalam dua operasi berasingan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di dua buah pusat hiburan, di sini, malam tadi.

Hasil saringan ujian air kencing ke atas 81 orang pekerja dan pengunjung di dalam premis turut mengesan dua lelaki positif dadah jenis methamphetamine (syabu).

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihak polis juga telah menahan kedua-dua pengurus pusat hiburan tersebut bersama seorang deejay atas kesalahan premis hiburan awam beroperasi tanpa lesen. Peralatan muzik milik premis terbabit turut dirampas.

“Manakala enam wanita asing ditahan kerana menyalahgunaan pasport untuk bekerja di premis dan empat lelaki warga asing gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Individu yang ditahan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Penampang untuk siasat lanjut pihak polis mengikut Sek. 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Sek. 3 Ordinan Hiburan Awam 1958, Sek. 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Sek. 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Terdahulu, pihak polis juga turut mengadakan operasi yang sama pada 30 Disember (Sabtu) juga di sebuah pusat hiburan dan menahan seorang lelaki penjaga premis serta turut merampas peralatan muzik milik premis kerana beroperasi tanpa lesen.

“Sehubungan dengan itu, pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi serta menasihatkan pengusaha premis-premis hiburan di daerah ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Polis turut menasihatkan pengusaha-pengusaha premis pusat hiburan supaya menjalankan perniagaan mengikut prosedur undang-undang yang telah ditetapkan,” tegas Sammy.