
GAZA, PALESTIN – Kira-kira 70 peratus rumah di kawasan Palestin yang terkepung musnah sepenuhnya selepas hampir tiga bulan pengeboman tanpa henti tentera Israel ke atas Gaza, menurut pejabat media kerajaan.
Tiada butiran lanjut diberikan, tetapi laporan awal memaklumkan, lebih 200 tapak warisan dan arkeologi musnah akibat pengeboman Israel yang dianggap paling merosakkan dalam sejarah moden.
Kira-kira 300,000 daripada 439,000 rumah musnah dalam serangan Israel, menurut laporan Wall Street Journal.
Menganalisis imej satelit, laporan itu menambah bahawa 29,000 bom yang digugurkan menyasarkan kawasan perumahan, gereja Byzantine, hospital dan pusat beli-belah dengan semua infrastruktur awam rosak sehingga tidak dapat dibaikpulih.
Menurut saintis politik di Universiti Chicago yang menulis mengenai sejarah pengeboman udara, Robert Pape, perkataan ‘Gaza’ akan menjadi sejarah bersama-sama dengan Dresden (Jerman) dan bandar terkenal lain yang dibom.
Dalam hampir tempoh dua bulan, serangan itu mendatangkan lebih banyak kemusnahan berbanding kemusnahan di Aleppo, Syria antara 2012 dan 2016, Mariupol di Ukraine, atau secara proporsional, pengeboman Bersekutu ke atas Jerman dalam Perang Dunia II.
Ia membunuh lebih ramai orang awam berbanding gabungan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dalam kempen tiga tahun menentang kumpulan Daesh.
“Antara 1942 dan 1945, pihak bersekutu menyerang 51 bandar dan bandar utama Jerman, memusnahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus kawasan bandar mereka.
“Gaza adalah satu kempen hukuman awam yang paling sengit dalam sejarah.
“Ia kini duduk dengan ‘selesa di tangga teratas’ kempen pengeboman paling dahsyat yang pernah ada,” kata Pape kepada agensi berita The Associated Press.
Corey Scher dari Pusat Siswazah CUNY dan Jamon Van Den Hoek dari Oregon State University memberitahu AP, Gaza kini adalah ‘warna yang berbeza daripada angkasa’.
“Ia adalah tekstur yang berbeza,” katanya.