Penternak Turunkan Harga Babi Hidup Selepas Wabak ASF Pulih Di Sabah

Penternak Turunkan Harga Babi Hidup Selepas Wabak ASF Pulih Di Sabah

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Penternak babi di Sabah memutuskan untuk menurunkan harga bekalan babi hidup sebanyak 10-15 peratus kepada penyembelih susulan pemulihan daripada penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata beliau dimaklumkan mengenai keputusan oleh Persatuan Ternakan Sabah (SLA) itu baru-baru ini.

Langkah itu dipuji Chan kerana wabak ASF telah memberi kesan besar terhadap industri ternakan tempatan sekali gus menyebabkan kenaikan harga dan kekurangan bekalan.

“Pelarasan harga ini mencerminkan usaha berterusan penternak kita yang berdedikasi untuk terus meningkatkan produktiviti.

“Pengurangan harga ini dijangka akan terus berkuat kuasa selagi penternak kita meningkatkan tahap produktiviti mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Chan melahirkan rasa terima kasih kepada penternak tempatan yang telah mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah dalam memerangi wabak ASF sejak 18 bulan lalu.

“Komitmen mereka ini telah berjaya mengawal dan membendung dengan tiada kes baharu ASF dilaporkan…

“Sememangnya, sebelum wabak ASF pada 2021, Sabah telah mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran daging babi, memenuhi permintaan pasaran tempatan kira-kira 10,000 babi hidup setiap bulan,” katanya.

– BERNAMA