KPDNHEP Sabah Jamin Bekalan Telur Ayam Tidak Terganggu

KPDNHEP Sabah Jamin Bekalan Telur Ayam Tidak Terganggu

0
SHARE
Seorang pegawai KPDNHEP sedang memeriksa kualiti telur di sebuah ladang penternakan ayam Sandakan...

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menjamin bekalan telur ayam di Sandakan tidak terganggu.

Agensi itu merisaukan pembelian panik sejak penyediaan bakul makanan yang terdiri daripada bahan asas bagi membantu mereka yang terkesan dengan Covid19 telah dibeli daripada peruncit-peruncit dalam kuantiti yang besar baru-baru ini.

“Sembilan belas (19) “benchmark” (penanda aras) iaitu dua belas (12) di sekitar Sandakan, dua (2) di Beluran, tiga (3) di Kinabatangan dan dua (2) di Telupid akan diletak bagi menjamin bekalan telur ayam dapat diperolehi oleh pengguna secara berterusan…

“Penanda aras yang terdiri daripada pelbagai kategori premis-premis perniagaan ini akan menerima bekalan telur ayam sebanyak 100 tray (3,000 biji) setiap hari selain daripada pemeriksaan berterusan juga di ladang pengeluar telur ayam,” katanya.

Kajian bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah telah mendapati bahawa bekalan telur bagi daerah Sandakan diperolehi daripada 2 buah ladang yang mampu menghasilkan purata 150,000 biji setiap hari.

Pengedaran bekalan telur ayam di daerah Sandakan oleh kedua-dua ladang ini boleh mencecah purata sebanyak 5,500 hingga 6,000 tray setiap hari di pasaran.

KPDNHEP Sabah dalam sebuah kenyataan hari ini berkata pihak kerajaan telah menambahkan punca bekalan telur ke daerah Sandakan daripada satu (1) lagi ladang yang beroperasi di Tawau iaitu QL Farms Sdn.Bhd.

Ladang itu sedang membekalan sebanyak 56,000 tray sebulan atau purata lebih kurang 2200 tray sehari.

Dengan penambahan bekalan daripada 2 ladang ke 3 ladang ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan telur ayam di pasaran daerah Sandakan mencecah purata sebanyak 8200 tray atau 246,000 biji sehari.

“Kerjasama daripada pihak NGO dan badan bantuan kemanusiaan amatlah diharapkan supaya mendapatkan bekalan barang keperluan tersebut daripada pihak pemborong di setiap daerah dan merancang tempahan pembelian lebih awal bagi menjamin bekalan sentiasa ada dan tidak terganggu…

“Di samping itu para peniaga juga diberi peringatan untuk tidak mengambil kesempatan berhubung permasalahan ini dengan menaikkan harga jualan telur,” kata dalam sebuah kenyataan hari ini.