KOTA KINABALU: Sabah mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, pencapaian terbaik dalam sejarah negeri ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin berkata kejayaan tersebut membuktikan pelajar Sabah mampu mencapai kecemerlangan hasil kerjasama erat guru dan ibu bapa.
“Ini kali pertama Sabah mencatat keputusan yang seimbang dengan negeri-negeri lain,” katanya pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Peperiksaan SPM dan STAM 2025 di Sekolah Menengah Tinggi Kian Kok pada Khamis.
Beliau berkata, 15 daripada 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah berjaya mencatat keputusan di bawah GPN 5 sekali gus menyumbang kepada pencapaian negeri.
Seramai 35,234 calon menduduki peperiksaan SPM di 320 pusat peperiksaan dengan bantuan 8,636 petugas termasuk sukarelawan.
Dalam perkembangan lain, Raisin berkata pihak kementerian dan Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa memantau cuaca panas di Telupid dan akan mengambil tindakan mengikut garis panduan sekiranya keadaan menjadi ekstrem.
Katanya, sekolah masih beroperasi seperti biasa namun murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan aktiviti luar akan dikurangkan jika cuaca terlalu panas.






