KOTA KINABALU: Sebanyak 3,356 kenderaan diperiksa, 3,200 diambil tindakan dan 6,405 notis saman dikeluarkan sepanjang Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia Negeri Sabah, dengan 36 kenderaan turut disita.
Pengarahnya, Datuk Mohd Harris Ali berkata, statistik itu menunjukkan tahap pematuhan pengguna jalan raya masih perlu dipertingkatkan menjelang pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula 13 hingga 22 Februari ini.
Menurutnya, operasi selama 10 hari itu memberi fokus kepada sembilan kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta kegagalan memakai tali pinggang keledar atau topi keledar.
“Sepanjang tempoh operasi, penguatkuasaan akan dipertingkat di laluan utama negeri dan lebuh raya dikenal pasti bagi meminimumkan kadar kemalangan serta kematian.
“Tindakan tegas dan berterusan turut diambil terhadap kenderaan perkhidmatan awam dan penunggang motosikal yang mencatat kadar kemalangan maut tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata larangan pemanduan kenderaan barangan berat dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 14 dan 15 Februari serta 21 dan 22 Februari, kecuali bagi kenderaan membawa barangan keperluan asas dan perkhidmatan penting.
Dalam operasi kali ini, seramai 286 anggota penguat kuasa terlibat di seluruh Sabah, termasuk 17 anggota yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres di 17 lokasi berbeza, selain penyamaran menggunakan kenderaan biasa bagi memantau kenderaan perdagangan.
Katanya, melalui kempen keselamatan jalan raya “Pandu Cermat, Sampai Selamat”, lebih 30 program advokasi dilaksanakan bersama rakan strategik termasuk Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia bagi meningkatkan kesedaran pengguna.
Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya, memastikan kenderaan diselenggara dengan baik serta merancang perjalanan sepanjang musim perayaan bagi mengurangkan risiko kemalangan.






