TUARAN: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi meningkatkan keterjaminan makanan serta Kadar Sara Diri (SSR) tanaman makanan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan sekuriti makanan kekal kukuh, selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang mengekalkan sektor pertanian sebagai antara tiga tonggak utama ekonomi negeri.
“Isu keterjaminan makanan kini menjadi agenda utama di peringkat global dan nasional. Perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi serta gangguan rantaian bekalan menuntut pendekatan baharu yang lebih praktikal, berdaya tahan dan inklusif,” katanya ketika melancarkan Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara inisiatif utama Jabatan Pertanian Sabah ialah pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di seluruh negeri.
Selain itu, RM3 juta diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi perbelanjaan mengurus serta RM15 juta untuk perolehan jentera menuai dan pembajakan padi.
“Inisiatif ini bertujuan menjadikan Sabah sebagai pengeluar padi dan beras yang mampan dan berdaya saing, dengan sasaran 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL) menjelang 2030,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa keterjaminan makanan bukan hanya bergantung kepada projek berskala besar, sebaliknya perlu bermula di peringkat akar umbi melalui inisiatif Kebun Dapur di bawah program Revolusi Ekonomi Luar Bandar.
Menurutnya, Jelajah Kebun Dapur yang akan dilaksanakan di seluruh negeri bertujuan memastikan inisiatif itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat termasuk di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman, dengan pendekatan mentor–mentee bagi memindahkan pengetahuan dan amalan terbaik secara berterusan.
Beliau berharap Tuaran dapat muncul sebagai ‘Daerah Kebun Dapur Model’ serta menggesa golongan belia memanfaatkan program itu untuk mempelajari teknik pertanian pintar berasaskan inovasi dan teknologi, sekali gus menjana pendapatan tambahan dan memperkukuh daya tahan komuniti.






