KOTA KINABALU, SABAH – Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah akan menyuntik peruntukan dana ke University College Sabah Foundation (UCSF) untuk menampung tunggakan pembayaran gaji kakitangan pekerja.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahandar berkata penyelesaian itu berdasarkan keputusan Tribunal Jabatan Tenaga Kerja.
“Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah juga mengarahkan Pengurusan UCSF untuk tidak membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan Semakan Kehakiman terhadap keputusan Tribunal Jabatan Tenaga Kerja…
“Bagi memastikan isu ini tidak berlarutan, pihak Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah akan memastikan semua usaha yang dirancang akan dilaksanakan dengan segera,” katanya sambil menambah pihaknya akan terus mengadakan perbincangan dengan Pengurusan UCSF dalam menangani perkara ini.
Dalam sebuah kenyataan hari ini, beliau juga berkata bukan sahaja UCSF malah kebanyakkan kolej pendidikan turut terjejas akibat pandemik COVID-19 yang berada di luar jangkaan dunia.
“Berdasarkan keadaan kewangan semasa UCSF dan unjuran kemasukan pelajar baharu pada tahun 2022, UCSF dijangka tidak dapat menampung pembayaran gaji staf (kakitangan) sepenuhnya…
“Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah mengambil serius perkara ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya lagi.
Pada minggu lalu, seramai 82 kakitangan UCSF menandatangani petisyen bagi mendesak Naib Canselor Dr Mohamed Haleem Mohamed Razi untuk meletak jawatan atas dakwaan gagal menguruskan institut berkenaan.
Kakitangan kolej berkenaan setelah dipotong gaji sejak Oktober tahun lalu, mendakwa akan terpaksa menanggung yuran guaman selepas pihak UCSF bertindak untuk mempertikaikan keputusan Makhamah Buruh dalam membayar balik gaji semua pekerja yang berjumlah RM94,709.35 di Mahkamah Tinggi.