KOPEKS Bayar Dividen RM323,925, Perkasa K-Care Klinik dan Dilantik Mentor SKM

KOPEKS Bayar Dividen RM323,925, Perkasa K-Care Klinik dan Dilantik Mentor SKM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-Badan Berkanun Sabah (KOPEKS) hari ini mengumumkan bayaran dividen tunai berjumlah RM323,925 bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 kepada anggotanya.

Selain itu, KOPEKS turut merasmikan premis baharu K-Care Klinik Sembulan dan mengumumkan pelantikannya sebagai Mentor Pengukuhan Tadbir Urus dan Pematuhan Syariah oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr. Saat Ag Damit berkata, pembayaran dividen dua tahun kewangan itu mencerminkan keupayaan koperasi mengekalkan prestasi mapan berasaskan tadbir urus berintegriti, pengurusan kewangan berhemah serta pematuhan prinsip syariah.

“Dividen ini melambangkan kestabilan dan kekuatan kewangan KOPEKS. Keutamaan kami adalah kebajikan anggota, dan prestasi yang stabil membolehkan manfaat ini dikongsi secara konsisten,” katanya pada Majlis Perasmian Bayaran Dividen 2023 & 2024 serta Perasmian Premis K-Care Klinik Sembulan di Dewan Saadah, Wisma MUIS.

Perasmian Majlis itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin.

Dr. Saat berkata, selain dividen, anggota turut menikmati pelbagai manfaat termasuk diskaun rawatan perubatan, perlindungan insurans kemalangan dan khairat kematian sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesejahteraan sosial dan kesihatan anggota.

“Dalam perkembangan sama, KOPEKS kini mengoperasikan tiga cawangan K-Care Klinik iaitu di Sembulan, Sulaman Sentral dan Kota Belud.

“Premis baharu di Grace Square, Sembulan beroperasi sepenuhnya bagi memperluas akses rawatan kesihatan yang lebih dekat dan berpatutan kepada anggota serta komuniti setempat,” katanya lagi.

Menurutnya, pada November lalu, tiga cawangan klinik mencatat pendapatan mencecah RM90,000 dan dijangka berkembang sekitar 30 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

KOPEKS juga merancang memperluaskan perkhidmatan kesihatan termasuk cadangan pembukaan pusat dialisis di Kudat.

Datuk Dr. Saat turut memaklumkan KOPEKS dilantik oleh SKM sebagai Mentor Pengukuhan Tadbir Urus dan Pematuhan Syariah, menjadikannya satu-satunya koperasi di Sabah menerima tanggungjawab strategik tersebut.

“Pelantikan ini mencerminkan tahap kepercayaan tinggi SKM terhadap pengurusan KOPEKS yang berdisiplin, telus dan selaras syariah,” katanya.

Beliau menyeru penjawat awam, khususnya yang baharu berkhidmat, supaya menyertai KOPEKS serta menggalakkan anggota sedia ada meningkatkan pegangan saham bagi memperkukuh modal dan seterusnya meningkatkan potensi dividen pada masa hadapan.