PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata parti politik khususnya parti tempatan perlu bersikap terbuka menerima penyertaan mana-mana pemimpin berasal dari negeri ini termasuk pemimpin dalam parti nasional.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata penyertaan itu dapat memperkuatkan parti jika semua pihak berada dalam landasan parti politik tempatan dan terus bersatu.
“Bagaimanapun, pemimpin tempatan yang berhasrat menyertai GRS perlu berpegang kepada empat teras perjuangan gabungan politik itu iaitu Sabah First, Sabah Prosper, Sabah Forward dan Sabah United,” katanya selepas menandatangani plak perasmian restoran pandu lalu makanan segera Burger King di Benoni, Papar, hari ini.
Beliau demikian sebagai maklum balas mengenai khabar angin tular berkenaan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang dikatakan bakal menyertai GRS.
Armizan berkata, beliau menyifatkan khabar angin tular menerusi laman media sosial itu hanya sebagai spekulasi, ketika ini dan masih terlalu awal untuk disimpulkan.
“Sebagai seorang ahli politik senior, saya tidak fikir Kiandee membuat keputusan dalam peringkat ini untuk ke mana-mana parti, bukan hanya GRS.
“Namun bagi saya itu hak Kiandee untuk menentukan hala tuju politik beliau,” katanya.
Susulan itu, Armizan secara peribadi berpendapat pemimpin tempatan yang berhasrat menyertai GRS perlu berpegang kepada empat teras perjuangan gabungan politik itu.
“Saya tidak bercakap mewakili parti komponen GRS walaupun saya Timbalan Setiausaha Agung, saya tidak bercakap mewakili GRS dan ini tidak pernah dibincangkan pun.
“Apatah lagi mewakili Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) mahupun Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
“Jadi kalau ada mana-mana pihak ingin menyertai GRS dan mana-mana parti komponen GRS, pendapat peribadi saya kita kena terbuka kerana bila semua berada dalam landasan parti politik tempatan ini, suara kita kuat. Kita akan kuat apabila kita bersatu,” katanya.






