Arsad Sedia Disiasat SPRM, Perbualan “Jolok” Dilakukan Secara Berseloroh

Arsad Sedia Disiasat SPRM, Perbualan “Jolok” Dilakukan Secara Berseloroh

0
SHARE
Arsad
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari menjelaskan bahawa perbualannya dalam rakaman yang disunting dan disebar dilakukan secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.

Saya mengesyaki individu yang bertemu dengan saya mempunyai niat yang tidak jelas, dan atas tanggapan itu saya berbual secara sarkastik dan tidak formal.

“Oleh itu, adalah tidak wajar untuk merumuskan bahawa perbualan itu merupakan pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang.

“Ia adalah komunikasi bersifat ringan, yang kini dimanipulasikan untuk memberi gambaran negatif terhadap saya.

“Tuduhan bahawa saya menerima komisen atau ‘jolok’ adalah satu fitnah yang tidak berasas dan direka untuk merosakkan reputasi saya di mata masyarakat,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Arsad berkata tuduhan beliau menyalahkan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kerana “menghalang” projek adalah tidak benar.

Beliau berkata ia sengaja diputarbelit termasuk dakwaan penglibatan ADUN Kawang, Pantai Dalit, Tanjung Batu, dan Labuk dalam perbualan itu.

“Saya hanya merujuk kepada cabaran dalam melaksanakan projek besar di Sabah, di mana proses kelulusan melibatkan banyak pihak dan tahap prosedur yang tinggi.

“Saya bersedia dan komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain sekiranya diperlukan.

“Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk meneliti segala tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap individu atau pihak yang masih menyebarkan maklumat yang salah atau memutarbelitkan kenyataan saya. Laporan polis juga telah dibuat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.