PRN Sabah, UPKO Perlu Menang Lebih Banyak Kerusi – Ewon

PRN Sabah, UPKO Perlu Menang Lebih Banyak Kerusi – Ewon

0
SHARE
Ewon
Ewon ketika berucap dalam Konvensyen Nasional UPKO di Dewan Masyarakat Menggatal ( Sumber Foto: Ihsan UPKO )

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan hari ini bahawa parti itu perlu memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihanraya negeri (PRN) Sabah akan datang.

Bagaimanapun, menurut beliau, jumlah kerusi dan seterusnya kemenangan calon-calon parti itu banyak bergantung kepada keberkesanan pimpinan dan pendekatan jentera di kawasan-kawasan yang ingin ditandingi.

“Kita harus pertahankan kemenangan di DUN Kadamaian dan perlu menang di kawasan yang lain. Ini bererti Parti UPKO perlu dan harus bertanding lebih kerusi dalam PRN Sabah.

“Saya ingin memberi indikator kepada semua yang ingin beraspirasi untuk menjadi calon dan mahu memenangi sokongan rakyat dalam PRN. Jadikan Kadamaian sebagai inspirasi dan motivasi.

“Kadamaian menjadi kekuatan UPKO kerana pendekatan dan kreativiti pimpinan di sana walaupun menunggu sehingga 13 tahun untuk menanam, menyubur dan menyegarkan sokongan rakyat sebelum bertanding dalam PRN,” katanya.

Ewon turut menegaskan komitmen dan tanggungjawab beliau sebagai Presiden berkaitan penetapan kawasan yang akan ditandingi dan juga persiapan kempen pilihanraya.

Bagaimanapun, beliau turut menyatakan keputusan pemilihan kerusi ditandingi tidak harus berasaskan kepada keingin bertanding semata-mata, tetapi atas asas yang kuat.

“Saya tidak mahu membuat keputusan hanya berasaskan keinginan mahu bertanding semata-mata tanpa didukung dengan asas dan inti yang kuat kerana kita mahu menang, bukan untuk kalah.

“Saya akan dipandu oleh kreativiti bahagian-bahagian, bukan kebergantungan. Yakinkan saya supaya saya boleh bersama-sama dapat meyakinkan rakyat,” katanya.

Ewon menyatakan demikian dalam ucapan dasar beliau di Konvensyen Nasional UPKO di Dewan Masyarakat Menggatal, di sini, hari ini.