KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengakui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus yang dipimpinnya kini berdepan cabaran akibat kemajuan sains dan teknologi.
Memetik sumber Berita Harian, beliau mendakwa penggunaan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) mewujudkan ancaman baharu apabila kemajuan sains dan teknologi itu dijadikan saluran untuk menyebarkan dakwaan dan fitnah.
Katanya, cabaran yang timbul menerusi kemajuan sains dan teknologi itu benar-benar menguji ketahanan kerajaan GRS-PH Plus yang menjadi sasaran serangan pihak lawan, khususnya dengan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) yang semakin dekat.
“Apa yang saya maksudkan ialah taktik kotor pembangkang dan konco-konco mereka yang bersekongkol ingin menjatuhkan kerajaan GRS-PH Plus melalui sebaran fitnah, pelbagai tuduhan dan pembohongan terhadap kerajaan negeri dan kepemimpinan parti.
“Inilah cabaran semasa yang wajib kita perangi habis-habisan kerana ia boleh meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan dan kepemimpinan parti, lebih- lebih lagi dalam era teknologi serba canggih sekarang, di mana media sosial dan teknologi AI menguasai kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-31, di sini, semalam.
Turut hadir, Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin dan barisan kepemimpinan LDP serta pemimpin kanan semua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Walaupun tidak menjelaskan lebih lanjut cabaran dihadapi GRS-PH Plus, Hajiji dipercayai merujuk situasi politik semasa di negeri ini berikutan pendedahan klip rakaman video serta audio mengenai dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kerajaan Sabah.
Klip video dan audio terbabit yang disebarkan melalui sebuah portal berita didakwa dibuat menggunakan kecanggihan teknologi semasa, termasuk AI dengan memanipulasi media sosial sebagai saluran penyebaran.
Hajiji berkata, cabaran baharu itu perlu diawasi, di samping beberapa lagi cabaran lain yang perlu ditangani, antaranya cabaran dalam menstabilkan politik dan cabaran untuk memulihkan semula ekonomi negeri.
“Alhamdulillah, kita berjaya mengharungi segala bentuk cabaran yang mendatang, malah berupaya pula memperkasa gabungan kita, GRS, di mana LDP adalah sebahagian daripada perjuangan ini yang bertekad mengekalkan kestabilan dan membawa kemakmuran demi kemajuan dan kesejahteraan yang berkekalan.
“Namun perlu diawasi, bahawa terdapat satu lagi cabaran lain, iaitu cabaran yang benar-benar menguji daya tahan kita. Cabaran ini wujud seiring dengan kemajuan sains dan teknologi serta ketamadunan umat manusia masa kini,” katanya.
Katanya, segala pembohongan dan fitnah yang ditabur terhadap GRS, khususnya, bukan saja perlu disangkal, malah wajar dipatahkan, agar rakyat tidak tertipu atau termakan hasutan disebabkan perbuatan mereka yang ingin menjatuhkan kerajaan secara kotor.
Sementara itu, Hajiji mengulangi pendiriannya untuk menawarkan GRS-PH Plus kepada rakyat negeri ini pada PRN17 nanti sejajar usaha meneruskan program pembangunan negeri dan mensejahterakan rakyat yang digerakkan sejak empat tahun lalu.
“Saya tetap yakin dan percaya, dengan kerjasama yang erat, dengan kesatuan dan perpaduan kita semua, dengan semangat juang yang jitu dan kerja keras, apatah lagi dengan sokongan dan dokongan padu LDP dan seluruh komponen GRS, insyaAllah, kita akan memenangi PRN17,” katanya.
Terdahulu, Su Phin menyatakan sokongan LDP terhadap kerjasama di bawah GRS selepas parti itu menyertai gabungan berkenaan bermula tahun lalu.
Katanya, LDP akan sama-sama memastikan kemenangan GRS pada PRN17 nanti agar Sabah dapat memiliki autonomi yang lebih besar untuk menjaga kepentingan rakyat dan negeri ini.