
KOTA KINABALU, SABAH – Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Dr Norlidah Tan Sri RM Jasni menyantuni Persatuan Tindakan Wanita Islam Sabah (PERTIWISA), pada Ahad.
Pengerusi PERTIWISA, Zaleha Datuk Seri Panglima Mohd Kassim berkata kunjungan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan dengan Toh Puan Norlidah yang juga Penaung PERTIWISA di samping mengukuhkan ukhuwah sesama ahli persatuan.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kerana dapat berkumpul dalam majlis yang penuh bermakna ini.
“Dukungan dan bimbingan Toh Puan Norlidah selama ini menjadi tunjang kekuatan kami untuk terus maju menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan, sosial, dan kebajikan.
“Aktiviti ini menjadi simbolik kepada semangat PERTIWISA dalam memupuk kecintaan kepada Rasulullah SAW di kalangan ahli persatuan,” kata Zaleha ketika ditemui media.
Toh Puan Norlidah menerima kunjungan hormat 70 ahli daripada cawangan PERTIWISA Beaufort, Tuaran, Kota Belud, Sandakan, Tawau dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat di Istana Seri Kinabalu.
Turut diadakan sesi berselawat beramai-ramai oleh Kumpulan Marhaban PERTIWISA pimpinan Alimah Mohamad dan tazkirah rohani bertajuk ‘Keistimewaan Berselawat’ oleh Pengerusi PERTIWISA Cawangan Tuaran, Datin Halimah Sidik.
Pada majlis tersebut, Toh Puan Norlidah turut menyatakan penghargaan atas usaha aktif PERTIWISA khususnya menerusi program keagamaan seperti kelas mengaji Al-Quran untuk suri rumah, ceramah agama, dan inisiatif kebajikan.
Toh Puan Norlidah berharap dengan lebih 500 ahli yang aktif di seluruh SABAH, PERTIWISA akan terus memainkan peranan penting dalam menyemarakkan pendidikan, kebajikan, dan nilai-nilai keislaman di Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH





