Pelajar Kritikal Terjatuh Dari Tingkat Tiga, Keluarga Syak Dibuli – Kes Mirip...

Pelajar Kritikal Terjatuh Dari Tingkat Tiga, Keluarga Syak Dibuli – Kes Mirip Zara Qairina

0
SHARE

SABAK BERNAM: Seorang pelajar Tingkatan Tiga dilaporkan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya awal pagi semalam, dalam insiden yang mengingatkan masyarakat kepada kes arwah Zara Qairina yang turut dikaitkan dengan isu buli dan melibatkan kejadian sama.

Mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, mengalami pendarahan di kedua-dua bahagian otak, rahang patah serta kecederaan paru-paru, menurut bapa saudaranya, Aidil Mansor seperti dilaporkan Sinar Harian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan masih di peringkat awal dan terlalu awal untuk mengaitkan kejadian ini dengan buli.

“Ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan, khususnya mengenai buli. Kami masih mengambil keterangan saksi serta individu berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menambah tekanan kepada keluarga mangsa.

Difahamkan, keluarga pelajar itu membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam sekitar jam 5 pagi selepas dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 4 pagi.