
SHAH ALAM, SELANGOR – “Saya anggap dia seperti anak dan sedia maafkannya,” itulah ungkapan warga emas yang menjadi mangsa dibelasah seorang pemuda di jalan raya berhampiran jejantas di Padang Jawa, dekat sini, Ahad lalu.
Menurut Zainol Din Hussein, 60, walaupun teruk diperlakukan seperti video yang tular dalam media sosial baru-baru ini sehingga memberi kesan kepada kesihatannya dengan kecederaan pada muka, badan serta tulang rusuk, dia bersedia memaafkan pemuda berusia 23 tahun itu dan enggan isu berkenaan berlarutan walaupun laporan polis sudah dibuat.
“Saya seikhlas hati mohon maaf sekiranya ada silap saya dan saya berlapang dada untuk memaafkan dia kerana tidak ingin kejadian ini berulang lagi. Saya juga sedih dengan apa yang dilakukannya, dia baru berusia 23 tahun iaitu di peringkat umur anak saya…
“Walaupun saya sedia memaafkannya, perkara ini saya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Jelasnya, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Maziana Johari, 56, serta cucu yang berusia tiga tahun dalam perjalanan untuk beraya dekat rumah saudaranya di Ampang dan Putrajaya.
Bagaimanapun, sebaik sahaja melalui jalan di lokasi kejadian, tiba-tiba dia melihat seorang penunggang motorsikal menjerit ke arahnya, namun tidak mendengar dengan jelas teriakan lelaki itu kerana berada di dalam kereta.
“Ketika berhenti bagi melihat kereta, penunggang tersebut patah balik. Tidak sempat berkata apa-apapun, dia terus menendang saya,” ujarnya.

Jelas Zainol lagi, semasa dipukul, dia tidak berdaya untuk melawan semula dan hanya melindungi lubang rawatan dialisis di lengan kirinya.
Bagaimanapun katanya, dia bernasib baik apabila terdapat beberapa penduduk kampung yang berdekatan kawasan kejadian terus membantunya, dengan meleraikan tindakan dirinya dibelasah itu.
Dalam pada itu, Zainol yang dipetik Utusan Malaysia diminta mengulas dakwaan bahawa dia menunjukkan isyarat tidak senonoh sehingga membuat lelaki itu berang, dia menafikannya dan memaklumkan dia tidak akan melakukan perkara sebegitu, apatah lagi dirinya warga emas.
“Umur saya sudah 60 lebih, ada penyakit buah pinggang, saya kena malu dengan diri sendiri dan Tuhan sebelum membuat provokasi sebegitu. Jujur saya tak buat benda itu dan saya juga tanya kepada isteri yang ada bersama adakah saya buat sedemikian secara tidak sengaja, dia kata tidak ada,” katanya.
Pesara swasta itu juga menafikan bahawa dia memanggil penduduk kampung untuk memukul pemuda berkenaan, sebaliknya mereka cuba menyelamatkannya daripada terus dipukul.
“Orang kampung kenal saya yang sudah 30 tahun tinggal di situ dan ketika itu. Saya memang tiada masa nak panggil orang kampung masa itu, kejadian terlalu pantas dan di luar kawalan saya. Orang kampung ke tempat kejadian sebab mereka kenal saya dan cuba untuk membantu saya…
“Jadi dakwaan saya memanggil mereka untuk memukul pemuda itu adalah salah,” katannya.
“Sebagai orang tua, saya ingat saya melanggar dia atau dia melanggar kereta saya, jadi saya berhenti. Saya tidak pasti apa yang dijeritkan pemuda itu. Saya cuma nampak dia patah balik dan terus terajang saya,” tambahnya lagi.