Pemuda Pukul Warga Emas Bakal Didakwa Hari Ini

Pemuda Pukul Warga Emas Bakal Didakwa Hari Ini

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Seorang pemuda yang tular baru-baru ini bakal didakwa hari ini (26 Mei) selepas ditahan sebelum ini oleh pihak polis kerana tindakannya membelasah seorang warga emas di jalan raya berhampiran jejantas di Padang Jawa pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim yang dipetik Kosmo berkata, pendakwaan terhadap suspek berusia 23 tahun itu akan dilakukan di Mahkamah Shah Alam.

Katanya, suspek sebelum ini direman sejak Isnin lalu dan berakhir pada Khamis (26 Mei).

“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Shah Alam pada pukul 9 pagi esok,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berdasarkan seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, tular video seorang penunggang motorsikal memukul lelaki warga emas di jalan berdekatan jejantas Padang Jawa, Ahad lalu dicekup polis bagi membantu siasatan.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan selepas mangsa berusia 61 tahun tampil membuat laporan, kira-kira pukul 2 petang pada hari sama.

Warga emas, Zainol Din Hussein dalam sidang akhbar khasnya hari ini walau bagaimanapun bersedia memaafkan pemuda berkenaan namun menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.