KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya pemilik tanah Pulau Daat iaitu Potensi Bernas Sdn Bhd ingin menjual tanah mereka itu.
Pulau berkenaan yang terletak di antara Menumbok dan Labuan akan dilelongkan pada Jumaat, dengan harga rizab bermula pada RM121.5 juta atau RM4.80 satu kaki persegi.
Yang pasti, pembida tertinggi pada hati tersebut akan mempunyai salah satu khazanah alam Sabah.
Dalam pada itu, beberapa bulan sebelum ini tanah seluas 30 ekar di Pulau Mantanani di Sabah yang dikatakan umpama “syurga” bagi penyelam turut diiklan untuk dijual pada harga RM12 juta, sebagaimana di dakwa oleh media tempatan.
Menurut penjual sebagaimana dipetik oleh media tempatan berkata warga asing juga boleh membeli tanah yang diiklankan itu.
Pada Oktober tahun lepas pula, sebuah kawasan tanah seluas 7.43 ekar di pulau yang sama juga ditawar untuk dijual pada harga RM14.3 juta.
Dalam tempoh beberapa tahun ini juga, kelihatan beberapa buah pulau di Sabah telah diiklankan untuk dijual, termasuk di antaranya Pulau Mengalum yang diiklan untuk dijual pada 2011 pada harga lebih RM70 juta.
Selain itu Pulau Pandanan itu diiklan untuk dijual pada harga RM8 juta manakala Pulau Montukod berhampiran di Papar yang cuba dijual pada nilai RM35 juta.
Ini menyebabkan rakyat Malaysia khusunya di Sabah rata-rata mula menzahirkan kerisauan jika ianya jatuh ke dalam tangan kuasa besar ekonomi dunia, China.
Desakan negara tersebut terhadap Laut China Selatan secara strategik mengatur tentera laut bagi menuntut lebih kawasan (seperti Israel di Palestin, dan Russia di Ukraine) dianggap “penjajahan haram” oleh Amerika Syarikat.
Setakat ini, tiga buah pulau di Kepulauan Spratly lebih kurang 500 kilometer dari ibu negeri sini, dijadikan pangkalan tentera negara itu.
Melalui imej satelit pada awal tahun, kira-kira 3,200 ekar timbusan tanah dilihat menghubungi ketiga-tiga pulau berkenaan dilengkapi sistem pertahanan peluru berpandu anti-kapal dan anti-pesawat.
Negara Brunei, Vietnam, Filipina dan Taiwan, termasuk Malaysia semuanya membuat tuntutan ke atas sebahagian pulau itu yang dikatakan penuh minyak dan gas asli.
Walau bagaimanapun, negara terlibat hanya mampu berdiam apabila berhadapan dengan gergasi yang boleh menghancurkan dalam sekelip mata.
Timbul persoalan: Apakah tindakan kerajaan negeri mahupun persekutuan jika syarikat asing mula menggali minyak berbillion ringgit nilainya ataupun dijadikanpersinggahan kapal tentera laut China?
Dengan lokasi pulau yang sangat berhampiran dengan sempadan negara, patutkah ia dibiarkan tanpa pemantauan pihak berkuasa?