TAWAU, SABAH – Seorang pekerja pembersihan Hospital Tawau terkejut apabila menemui mayat seorang bayi dalam tangki pam tandas wanita wad kecemasan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, wanita berusia 54 tahun terbabit membuat penemuan itu kira-kira jam 7.10 pagi sebelum pihak hospital membuat laporan polis pada jam 8.09 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati, bayi terbabit baru sahaja dilahirkan dan dipercayai dibuang ke dalam pam tandas berkenaan.
“Polis masih belum mengenal pasti ibu bayi dan usaha mencari waris mangsa sedang dilakukan,” katanya.
Susulan kejadian itu satu kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya.