G57 JAWAB ZAHID: SELESAIKAN ISU KERUGIAN AGENSI NEGARA, 47 PERTUDUHAN AKALBUDI WAJAR...

G57 JAWAB ZAHID: SELESAIKAN ISU KERUGIAN AGENSI NEGARA, 47 PERTUDUHAN AKALBUDI WAJAR DIBUKA SEMULA SEBELUM PRU AWAL

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) berpandangan kerajaan tidak perlu tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lebih awal, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada isu integriti, kerugian agensi negara serta penyelesaian kes berprofil tinggi melalui proses undang-undang.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dilaporkan berkata PRU lebih awal adalah lebih baik.

Menurut Zulkarnain, G57 menghormati pandangan Zahid berhubung PRU awal, namun mempunyai pendirian berbeza kerana terdapat beberapa isu kepentingan awam yang menurutnya perlu diberikan perhatian terlebih dahulu.

Antaranya, beliau membangkitkan kerugian pelaburan melibatkan agensi negara dan mendesak pihak berkuasa memastikan mana-mana individu yang didapati mempunyai bukti mencukupi berhubung salah guna kuasa atau kesalahan jenayah dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan politik.

G57 turut membangkitkan isu pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH), khususnya urus niaga berkaitan Al-Rawda membabitkan pajakan hotel di Makkah dan Madinah.

“Wang Tabung Haji merupakan amanah jutaan pendeposit yang menyimpan hasil titik peluh mereka untuk menunaikan ibadah haji. Jika terdapat unsur jenayah dan bukti mencukupi, mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkarnain berkata prinsip sama perlu diterapkan terhadap sebarang salah urus atau kerugian melibatkan agensi negara lain termasuk FELDA.

Dalam perkembangan berkaitan, G57 turut menggesa supaya 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang pernah dihadapi Zahid dipertimbangkan untuk dibuka semula dan diteruskan mengikut proses undang-undang.

Pada September 2023, Mahkamah Tinggi memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap kesemua 47 pertuduhan tersebut.

Pada Januari lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan selepas penelitian terhadap bukti baharu.

Bagaimanapun, pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Majlis Peguam meneruskan semakan kehakiman berhubung keputusan pendakwaan yang membawa kepada DNAA tersebut dan mengembalikan perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.

Menurut Zulkarnain, perkembangan itu menunjukkan isu berkenaan masih mempunyai kepentingan awam dan sewajarnya ditangani melalui proses perundangan secara telus.

“Prinsip G57 mudah – tiada seorang pun harus berada di atas undang-undang.

“Sama ada rakyat biasa, pemimpin parti, menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri, prinsip kesamarataan di sisi undang-undang mesti dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata G57 berpandangan penyelesaian isu integriti dan pertanggungjawaban berkaitan kerugian agensi negara lebih utama daripada percaturan mengadakan PRU lebih awal.

“Pilihan raya tidak seharusnya dijadikan alat, perisai atau talian hayat politik bagi mana-mana pihak untuk mengelakkan pertanggungjawaban undang-undang.

“Selesaikan dahulu persoalan integriti dan pertanggungjawaban. Selepas itu, pulangkan mandat kepada rakyat apabila tiba masanya,” katanya.