Pencatuan Bekalan Elektrik Sabah Masih Berlangsung

Pencatuan Bekalan Elektrik Sabah Masih Berlangsung

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Beberapa kawasan di Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bergelap semalam akibat gangguan bekalan elektrik.

Menurut Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bekalan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 10.06 malam.

Katanya kerosakan teknikal pepasangan di salah satu Pencawang Masuk Utama menyebabkan beberapa janakuasa utama terpelantik dan seterusnya mengakibatkan sistem Grid Sabah kehilangan kapasiti 200 megawatt.

“Lanjutan daripada itu, pemulihan bekalan dilakukan secara berperingkat bermula dari jam 8.00 malam dan siasatan terhadap punca kerosakan masih dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, melalui laman laman Twitter rasmi SESB @CarelineSESB, beberapa kawasan di Tawau, Keningau, Tambunan, Beaufort, Papar dan Lahad Datu bakal mengalami gangguan sehingga tiga (3) jam petang hari ini (17 Mei).

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar berkata keadaan cuaca panas yang melanda negara telah meningkatkan permintaan tenaga elektrik.

“Kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah secara amnya boleh menampung jumlah permintaan tersebut.

“Bagaimanapun terdapat beberapa loji penjanaan telah mengalami masalah di luar jangka dan tidak dapat menjana tenaga elektrik untuk memenuhi permintaan grid (elektrik) Sabah,” katanya.

Pengguna boleh menghubungi talian ‘SESB Careline’ di 088-15454 untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan.