Kutip Hutang Bertukar Cubaan Bunuh di Penampang, Warga Asing Positif Syabu Ditahan

Kutip Hutang Bertukar Cubaan Bunuh di Penampang, Warga Asing Positif Syabu Ditahan

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang lelaki yang datang untuk menuntut hutang kerja membaiki paip hampir membunuh anak buah penghutang selepas tercetus pertengkaran mulut dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira tengah hari itu, mangsa yang sedang menjaga anak buahnya sambil memasak di dapur dikatakan bertengkar dengan suspek yang datang menuntut baki bayaran daripada kakak ipar mangsa.

Suspek dipercayai berang selepas berlaku perang mulut sebelum bertindak merampas pisau daripada tangan mangsa lalu mengelar leher mangsa dan menolaknya ke dinding tandas sehingga cedera di kepala dan leher.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil walaupun mengalami kecederaan serius.

“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil namun mengalami luka kelar di bahagian leher dan luka tetakan di bahagian kiri kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menahan suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun di kawasan semak tepi jalan Pekan Kinarut Lama, Papar kira-kira jam 5.50 petang pada hari sama.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.