KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri semalam mengumumkan Penubuhan Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu bagi memantau bencana yang sering melanda negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, objektif penubuhan Jawatankuasa itu adalah bagi menangani isu banjir kilat di Sabah menerusi tindakan pemantauan, penguatkuasaan punca serta tindakan jangka pandek dan jangka panjang dalam menangani isu berkenaan.
“Jawatankuasa ini akan menyelaraskan tindakan antara agensi menerusi bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu dapat diambil,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di Jabatan Kerja Raya Sembulan.
Bung yang juga Pengerusi berkata ianya dianggotai pelbagai agensi kerajaan antara Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah dan lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan.
“Pembabitan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa pemandu ini adalah amat penting kerana isu banjir kilat bukan sesuatu masalah yang bersifat ‘silo’…
“Puncanya selain faktor cuaca adalah pelbagai dan memerlukan tindakan bersepadu yang pintar serta cekap demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, jawatankuasa tersebut bertindak sebagai jawatankuasa pemandu yang akan turun ke lapangan bagi membuat kajian terperinci untuk mengenal pasti punca banjir kilat yang sering berlaku selain dari faktor cuaca.
“Jawatankuasa pemandu ini akan mencadangkan cara mengatasinya selain menyediakan anggaran kos bagi membina atau mendalamkan sungai atau perparitan perlu di perbesarkan yang menjadi punca kepada masalah banjir kilat,” katanya
Tambah Bung, Negara berdepan tiga bencana alam utama, iaitu banjir, banjir kilat dan tanah runtuh.
Umumnya, hujan lebat dibawa angin monsun timur laut adalah faktor semula jadi utama berlakunya bencana banjir.
Namun katanya, faktor campur tangan keterlaluan manusia melalui aktiviti pembangunan dan perlakuan tidak lestari memburukkan lagi kejadian banjir di sesuatu kawasan.
Katanya, terdapat keperluan segera untuk mengutamakan penyesuaian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana dengan menjadikan sebagai agenda arus perdana dalam perancangan pembangunan.
“Langkah utama mengatasi banjir adalah dengan mempunyai dasar, perancangan dan pelan tindakan mengurangkan risiko banjir yang mantap…
“Pelan ini perlu diintegrasi dengan pelan pembangunan sosial dan ekonomi supaya dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” katanya
Dalam pada itu, beliau menambah bahawa masyarakat juga harus diberi kesedaran berterusan bahawa bencana alam seperti banjir sering kali berlaku tanpa diduga, justeru adalah amat penting menjaga dan menghargai alam semula jadi melalui interaksi lestari dalam segala aspek kehidupan.