PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam satu serbuan berkaitan dadah di daerah ini pada 4.30 petang Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton, pemeriksaan menemui tujuh paket plastik berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 70.32 gram dengan nilai anggaran RM10,500.
“Ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan minimum 12 kali jika sabit kesalahan.
Sammy turut mengingatkan masyarakat agar menjauhi dadah dan segera melaporkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis.






