KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara tewas 1-4 kepada Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland awal pagi tadi.
Pada aksi pertemuan dengan Jepun awal pagi tadi, hanya beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menyumbangkan mata kepada skuad badminton negara selepas menewaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 22-20, 14-21, 21-16.
“Kemenangan ke atas pasangan Jepun ini satu persiapan terbaik untuk menghadapi aksi suku akhir. Kami sudah bersedia dan tahu bagaimana untuk mengawal kekuatan mental dengan lebih baik,” kata Aaron.
Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kurang bernasib baik apabila tewas kepada pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota 18-21, 10-21 pada perlawanan awal pagi tadi.

Keputusan awal pagi tadi membolehkan skuad badminton negara muncul naib juara Kumpulan D dan diundi bertemu Indonesia untuk aksi suku akhir Piala Sudirman 2021 yang dijadual berlangsung pada jam 9 malam ini (waktu Malaysia).
Ini bakal menunjukkan perlawanan menarik apabila Aaron-Wooi Yik dijangka membuat perhitungan dengan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam aksi bertemu Indonesia.
Manakala, Zii Jia akan bertemu jaguh perseorangan skuad badminton Indonesia iaitu Anthony Sinisuka Ginting.
Jepun yang muncul juara kumpulan akan menentang Taiwan dalam perebutan tempat ke separuh akhir.
Dua lagi perlawanan suku akhir menyaksikan juara bertahan, China akan berdepan Denmark manakala Korea Selatan bertemu Thailand.