KUDAT: Seorang lelaki warga Filipina berusia lingkungan 20-an ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh ke laut dari sebuah kapal yang sedang berlabuh di Jeti Ko-Nelayan, di sini, malam tadi.
Mayat mangsa ditemukan oleh sekumpulan nelayan yang melakukan selaman di sekitar lokasi kejadian kira-kira jam 10.20 pagi tadi, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PPgB Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kudat berhubung kejadian itu pada jam 10.37 malam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki dilaporkan terjatuh ke dalam laut dari sebuah kapal yang sedang berlabuh.
“Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian telah berusaha mencarinya dengan menyelam di sekitar jeti, namun mangsa gagal ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian awal dijalankan bersama pihak polis menggunakan kaedah pencarian di permukaan air sebelum ditangguhkan pada jam 11.10 malam berikutan keadaan persekitaran yang gelap.
Katanya, operasi SAR disambung semula pada jam 9.20 pagi tadi menggunakan bot penyelamat bomba di sekitar kawasan jeti.
“Mangsa akhirnya ditemukan oleh pasukan nelayan pada jam 10.20 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira 10 minit kemudian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang melibatkan anggota BBP Kudat dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi.






