Polis Tahan 3 Lelaki Disyaki Curi Besi Di Projek Pan Borneo

Polis Tahan 3 Lelaki Disyaki Curi Besi Di Projek Pan Borneo

0
SHARE

SIBU, SARAWAK – Polis menahan TIGA (3) yang disyaki mencuri 80 batang besi bernilai kira-kira RM150,000 yang digunakan untuk membuat jambatan di Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarikei/Bintangor dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Sekam Anoi berkata ketiga-tiga suspek ditangkap sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Meradong, di Jalan Pedada Sibu berdasarkan maklumat awam.

Beliau yang dipetik Bernama berkata, terdahulu seorang penyelia di tapak projek itu telah membuat laporan polis berhubung kehilangan besi berkenaan petang Isnin.

“Penyelia itu melaporkan kehilangan batang besi yang diletakkan di kawasan dikenali sebagai CH 60+417 Jalan Pan Borneo Sarikei/Bintangor melibatkan 50 batang besi berukuran enam meter dan 30 batang besi berukuran sembilan meter untuk pembinaan jambatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia di antara 31 dan 37 tahun itu kini direman sehingga 2 Jan ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.