Pekerja Binaan Maut Tertimbus Tanah Di Tuaran

Pekerja Binaan Maut Tertimbus Tanah Di Tuaran

0
SHARE
Sumber Foto: Ihsan daripada Bomba Sabah...

KOTA KINBALU, SABAH – Seorang pekerja binaan warga Indonesia maut selepas tertimbus tanah di Jalan Lama Tuaran, Bandar Sierra, di sini, petang kelmarin (Rabu).

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Sukirman Rappe, 43, dikatakan menjalankan kerja pengambilan tanah menggunakan jengkaut di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, tanah di kawasan berkenaan tiba-tiba runtuh sehingga menyebabkan mangsa tersepit di celah runtuhan.

Memetik laporan Harian Metro, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.09 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati tersepit di dalam runtuhan tanah dan operasi menyelamatkan mangsa segera dijalankan…

“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan pada 5.12 petang oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.