Bil Elektrik Pengguna Sabah Naik Kerana Pelarasan Pakej PEMULIH – SESB

Bil Elektrik Pengguna Sabah Naik Kerana Pelarasan Pakej PEMULIH – SESB

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bil elektrik pengguna Sabah untuk bulan Ogos ini naik sekali ganda disebabkan pelarasan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) jelas pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Konfigurasi terhadap sistem pembilan SESB telah dibuat sepanjang bulan Julai untuk merekod masuk diskaun pakej tersebut yang diumumkan pada 28 Jun lalu.

Berikutan itu, tiada pembacaan di premis pengguna serta penyerahan bil secara fizikal dibuat kepada pengguna pada bulan Julai.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata, jumlah yang tertera di dalam bil yang diterima oleh pengguna pada Ogos adalah kiraan bil untuk dua bulan iaitu Julai dan Ogos.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembayaran yang telah dibuat oleh pengguna sebelum ini akan memakan masa untuk dikemaskini di dalam sistem.

“Terdapat kes tertentu yang mana amaun semasa di dalam bil tidak menunjukkan penolakan bayaran yang telah dibuat, namun begitu pengguna tidak perlu bimbang kerana pembayaran yang sah dijamin akan dikemaskini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Menurut beliau terdapat juga kes dimana pengguna mempunyai tunggakan bil yang menjadikan amaun pada bil Ogos bertambah tinggi.

“Dalam pada itu, pengguna yang masih ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai bil elektrik mereka boleh berhubung dengan Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di pejabat SESB yang berdekatan,” katanya.

Pengguna yang mempunyai pertanyaan mengenai pemberian diskaun bil elektrik boleh juga menghubungi bilik gerakan SESB melalui talian 088-222313, 223313 dan 224313 pada waktu pejabat iaitu 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Selain itu pengguna turut boleh mengajukan pertanyaan melalui e-mel komersil@sesb.com.my.

Manakala, pengguna diminta menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau melalui aplikasi Whatsapp 019- 852 5427 untuk pertanyaan selepas waktu pejabat.