SABAH MILIKI 1,127 BUAH MASJID, TERTINGGI DI MALAYSIA: KM HAJIJI

SABAH MILIKI 1,127 BUAH MASJID, TERTINGGI DI MALAYSIA: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menanam anak pokok kurna pada Majlis Pecah Tanah Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah Tawau ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TAWAU, SABAH – Negeri Sabah mempunyai sebanyak 1,127 buah masjid, yang tertinggi di Malaysia, disamping memiliki sebanyak 1,221 buah surau, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, mengikut rekod di Tawau sahaja terdapat 133 buah masjid dengan 103 buah surau, berada ditempat kedua selepas Semporna yang mempunyai sebanyak 246 buah masjid dan surau.

Beliau berkata, walaupun Islam merupakan agama rasmi negara ini, namun rakyat bukan beragama Islam bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

“Bukan bererti kalau kita mempunyai bilangan masjid yang banyak untuk beribadah, ia sesuatu yang boleh merenggangkan keharmonian dan perpaduan di antara kaum dan juga kepercayaan di negeri Sabah amnya dan negara kita khasnya.

“Kita mesti menjadi umat Islam yang berdisiplin, mempunyai moral yang cintakan keadilan, perpaduan dan kemajuan. Ini mesti diterapkan pada diri umat Islam, supaya imej agama Islam berada di tempat yang sewajarnya.

“Jangan kita jadikan agama ini sebagai sesuatu yang boleh merosakkan hubungan ataupun tanggapan yang negatif daripada kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah di sini pada Ahad.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta sebagai permulaan untuk pembinaan masjid itu bagi menampung kemudahan yang tidak mencukupi di kawasan itu yang mempunyai kira-kira 10,000 penduduk.

Beliau berharap Masjid Ar-Rahman, Bandar Sri Indah, Tawau yang bakal dibina itu akan menjadi masjid paling aktif dan berdaya saing sejajar dengan masjid-masjid sedia ada di daerah Tawau, khususnya dari segi aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan juga perekonomian.

“Saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat segera dimulakan bagi memastikan masjid baru ini siap dibina sebagaimana yang dirancang dalam waktu yang telah ditetapkan,” katanya.

Hajiji berkata, masjid merupakan rumah ibadah umat Islam yang mulia. Fungsi dan peranannya dalam kehidupan umat Islam sangatlah penting dan berkait rapat dengan perihal keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT, pencipta seluruh alam.

Menurutnya, pembinaan sesebuah masjid atau surau dalam agama adalah sangat dituntut, lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai penduduk yang beragama Islam.

Hajiji berkata, dalam konteks Malaysia, masjid merupakan sebuah institusi yang menjadi nadi kepada aktiviti masyarakat Islam, sama ada di dalam sesebuah kampung atau pun pekan dan juga bandar, ia tidak lagi dilihat sebagai rumah ibadah semata-mata, tetapi juga sebagai pusat kemasyarakatan, keilmuan, termasuk pelbagai aktiviti sosial yang berkaitan dengan kemajuan dan pembangunan ummah.

“Misalnya, penyediaan ruang untuk program program kelas mengaji Al-Quran, kelas- kelas Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah, malah ada juga yang menyediakan ruang untuk majlis-majlis kenduri kendara dan sebagainya.

“Justeru masjid kini menjadi pusat serbaguna ke arah kemajuan dan pembangunan ummah, sesuai dengan keperluan dan perkembangan semasa,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan keluarganya kerana bermurah hati mewakafkan tanah seluas lima ekar untuk tapak Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah Tawau.

Turut hadir ialah Menteri Sains. Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin
Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang dan ADUN Kukusan, Rina Jainal.