KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah terbuka untuk meneliti cadangan memperkenalkan perkhidmatan bas ulang-alik ekspres yang menghubungkan KK Sentral, Hospital Queen Elizabeth I (QE1) dan Hospital Queen Elizabeth II (QE2) bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam serta menangani masalah kesesakan tempat letak kereta di hospital.
Pengerusinya, Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata, cadangan yang dikemukakan Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Gee Tien Siong itu wajar dipertimbangkan sekiranya mampu menyediakan perjalanan lebih terus dan mudah kepada pesakit, petugas kesihatan serta orang awam.
“LPKP Sabah terbuka untuk meneliti kebolehlaksanaan cadangan ini, termasuk aspek pengaturan operasi, permintaan penumpang dan bagaimana perkhidmatan berkenaan dapat melengkapi rangkaian BAS.MY sedia ada.
“Kita boleh terus memperkukuh rangkaian pengangkutan awam sedia ada sambil meneroka perkhidmatan tambahan yang mampu meningkatkan akses ke hospital,” katanya dalam kenyataan.
Phoong berkata, perkhidmatan BAS.MY atau Bas Pink ketika ini sudah menyediakan jaringan pengangkutan awam ke kedua-dua hospital menerusi beberapa laluan termasuk S05 dan S06.
Menurutnya, BAS.MY beroperasi dengan kekerapan sekitar 15 hingga 25 minit di seluruh rangkaiannya, manakala laluan S05 dan S06 yang menghubungkan QE2 dengan Foh Sang mempunyai kekerapan kira-kira 18 minit.
“Penumpang dari QE2 ke Foh Sang boleh menggunakan laluan S05, manakala perjalanan dari Foh Sang ke QE2 menggunakan laluan S06.
“Bagi perjalanan antara QE1 dan KK Sentral pula, pengguna mempunyai beberapa pilihan termasuk laluan S05, S06, S07 dan S08,” katanya.
Beliau berkata, rangkaian BAS.MY yang beroperasi di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) turut menghubungkan kawasan perumahan dan komersial bagi memenuhi keperluan masyarakat secara menyeluruh.
Bagaimanapun, katanya, penambahbaikan masih diperlukan khususnya bagi mengurangkan jarak berjalan kaki serta memudahkan akses pengguna ke perhentian bas.
Dalam perkembangan berkaitan, Phoong berkata, LPKP Sabah sudah mengadakan sesi libat urus bersama wakil QE2 dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi membincangkan penambahbaikan akses bas ke hospital berkenaan.
Katanya, pemeriksaan tapak turut dijalankan bagi menilai kesiapsiagaan kawasan menaikkan dan menurunkan penumpang yang dicadangkan di pintu masuk QE2.
“Penambahbaikan laluan dan lokasi perhentian bas, termasuk hubungan antara tempat letak kereta bertingkat Foh Sang dengan QE2, turut dibincangkan.
“Bagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) dan pihak berkuasa berkaitan berikutan obligasi kontrak sedia ada,” katanya.
Phoong menegaskan, usaha menangani kesesakan parkir hospital memerlukan kerjasama erat antara pengendali pengangkutan, pengurusan hospital dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan penyelesaian yang berkesan serta mampan.






