‘Sejarah’ Single Terbaharu, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Istimewa Ciptaan Muzik Dari Indonesia 

‘Sejarah’ Single Terbaharu, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Istimewa Ciptaan Muzik Dari Indonesia 

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan single terbaharu berjudul `Sejarah’ ciptaan maestro muzik dari Indonesia, Erwin Gutawa.

Lagu ‘Sejarah’ mempunyai signifikan tersendiri dalam karier Siti Nurhaliza yang bakal mencecah usia 30 tahun berkecimpung di dalam industri muzik.

‘Sejarah’ merupakan gandingan Erwin Gutawa bersama anak perempuannya, Gita Gutawa selaku penulis lirik.

Menurut Erwin, lagu ‘Sejarah’ diciptakan khusus buat Siti Nurhaliza dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti yang ada pada penyanyi tersebut.

Erwin meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan.

Lebih istimewa, Erwin menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik yang digarap indah khusus untuk Siti Nurhaliza.

Lagu ‘Sejarah’ merupakan buah tangan istimewa Siti Nurhaliza sebelum menutup tirai 2024 setelah sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.

Bagi Siti, ‘Sejarah’ merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa apabila beliau kembali dapat berganding bahu dengan Erwin Gutawa dalam sebuah lagu.

Beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seni beliau.

“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya.

“Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ ujar Siti.

Siti juga berterima kasih kepada Aubrey Suwito yang telah membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur.

Besar harapan Siti agar single terbaharu ini akan mendapat tempat di hati peminat.

Single terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini sudah boleh distrim dan dilanggan di seluruh pelantar digital bermula sejak 14 November lalu.