Enakmen Perbekalan 2025 Mula Dibahas

Enakmen Perbekalan 2025 Mula Dibahas

0
SHARE
Hajiji
Suasana sebelum sidang bermula ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Enakmen Perbekalan (2025) 2024 mula dibahas dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Keenam Belas Negeri Sabah, pada Isnin.

Enakmen perbekalan yang dibentangkan pada Jumaat lepas oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun memperuntukkan sejumlah RM 6,280,685,476 dijangka berkuatkuasa pada 1 Januari 2025.

Sesi perbahasan menyaksikan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian yang dimulai oleh ADUN N65 Senallang, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dan diakhiri oleh ADUN N60 Tungku, Assaffal P. Alian dan sidang dewan ditangguhkan tepat jam 7.30 malam.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memulakan sesi Pertanyaan-pertanyaan Untuk Jawapan Lisan dengan menjawab soalan pertama oleh Adun Dilantik, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkenaan perkembangan dalam bidang Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC).

Manakala, 12 soalan dijawab dalam sesi tersebut yang melibatkan Ketua Menteri, Menteri Kewangan, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang juga merangkap Menteri Kerja Raya, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Cristina Liew dan juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif.

Hari pertama sidang merekodkan 223 orang pemerhati dari Universiti Malaysia Sabah, Persatuan Ibu Tunggal Nur Qaseh, Kelab Wanita Ikon Malaysia Cawangan Sabah, Pejabat Pendidikan Telupid/Tongod, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad dan SMK Gunsanad 2. — JABATAN PENERANGAN SABAH