PENAMPANG: Seorang bayi yang baru berusia sebulan kini membesar tanpa seorang ayah selepas bapanya, seorang penunggang motosikal berusia 32 tahun, maut dalam kemalangan di Jalan Bundusan sini pada malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang dipercayai tidak sempat mengelak apabila sebuah Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 48 tahun hilang kawalan dalam keadaan hujan.
Kedua-dua kenderaan dilaporkan bergerak sehala dari arah berhampiran sebuah kelab golf.
Kenderaan terbabit dipercayai terbabas, melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri sebelum merempuh motosikal mangsa.
Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah, mengakibatkan dia meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa meninggalkan seorang isteri yang masih dalam tempoh berpantang serta empat orang anak, termasuk bayi bongsu yang baru dilahirkan sebulan lalu.
Polis tiba di lokasi untuk mengawal keadaan dan menjalankan siasatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.






