KOTA KINABALU: Tahun 2026 bakal menyaksikan pelaksanaan pelbagai undang-undang dan peraturan baharu yang dijangka memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, merangkumi aspek keselamatan digital, percukaian, perniagaan, pengangkutan serta kebersihan awam.
Dalam sektor digital, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang telah digazetkan akan berkuat kuasa mulai Januari 2026.
Akta ini meletakkan tanggungjawab undang-undang ke atas penyedia perkhidmatan aplikasi dan media sosial untuk menangani kandungan berbahaya seperti buli siber, penipuan dan eksploitasi kanak-kanak.
Sebuah jawatankuasa keselamatan dalam talian turut ditubuhkan bagi memantau pelaksanaannya.
Kerajaan juga merancang melarang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial.
Platform digital akan diwajibkan melaksanakan pengesahan umur melalui sistem eKYC, dengan syarikat media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna perlu memiliki lesen ASP(C) atau berdepan denda sehingga RM500,000.
Dalam aspek percukaian dan perniagaan, pelaksanaan e-invois diteruskan secara berperingkat.
Syarikat dengan pendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta perlu mematuhinya mulai 1 Januari 2026, manakala perniagaan berpendapatan RM500,000 hingga RM1 juta bermula 1 Julai 2026. Perniagaan kecil dengan pendapatan bawah RM500,000 dikecualikan buat masa ini.
Beberapa perubahan cukai turut diperkenalkan, termasuk kenaikan duti setem hartanah kediaman untuk warga asing daripada 4 peratus kepada 8 peratus, serta cukai 2 peratus ke atas pengagihan keuntungan Perkongsian Liabiliti Terhad melebihi RM100,000.
Pada masa sama, pelepasan cukai baharu diperkenalkan melibatkan pelancongan domestik, penjagaan kanak-kanak, serta pemasangan CCTV kediaman.
Dalam sektor pengangkutan, sistem Kejara 2.0 akan dilaksanakan dengan diskaun saman trafik diberikan secara automatik berdasarkan tempoh pembayaran, selain mata demerit dikenakan serta-merta.
Semua bas awam pula diwajibkan mematuhi piawaian keselamatan pendawaian elektrik baharu bagi memastikan keselamatan penumpang.
Bagi kebersihan awam dan alam sekitar, hukuman lebih tegas akan dikenakan terhadap kesalahan membuang sampah, termasuk denda sehingga RM2,000 dan kerja khidmat masyarakat.
Premis makanan di kawasan bandar terpilih pula diwajibkan mematuhi piawaian tandas BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi, sebagai syarat pembaharuan lesen perniagaan mulai 2026.
Pelaksanaan menyeluruh peraturan ini mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan, tadbir urus dan kualiti hidup rakyat, namun memerlukan penyesuaian daripada orang awam dan sektor perniagaan.






