GPS ULANGI PENDIRIAN UNTUK TERUS SOKONG KERAJAAN PN DI BAWAH PIMPINAN MUHYIDDIN...

GPS ULANGI PENDIRIAN UNTUK TERUS SOKONG KERAJAAN PN DI BAWAH PIMPINAN MUHYIDDIN YASSIN

0
SHARE
Ahli Parlimen GPS ulangi pendirian untuk tetap menyokong kepemimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas bermesyuarat dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg... yang juga Presiden GPS pada hari ini (7 Ogos 2021)...

KUCHING, SARAWAK – Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali lagi mengulangi pendirian mereka untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ketetapan itu diputuskan dalam perjumpaan khas bersama dengan semua Ahli Parlimen GPS dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang juga Presiden GPS pada hari ini (7 Ogos).

Beliau berkata, GPS juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, supaya pentadbiran kerajaan diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.

“Satu perjumpaan khas Pengerusi GPS (Abang Johari) bersama semua Ahli Parlimen GPS diadakan di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini bagi membincangkan senario terkini politik negara…

“Semua Ahli Parlimen GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani dan bijak.

“Ia juga pendekatan terbaik (menyelesaikan kemelut politik) berlandaskan perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan itu, hari ini.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi…

Tambah GPS, mereka menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan ketika ini dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19 hanya akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

Terdahulu pada Selasa, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan untuk menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

GPS adalah hasil gabungan daripada EMPAT (4) parti tempatan Sarawak iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang kesemuanya mempunyai 18 kerusi Parlimen.