Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Di Laluan Pejalan Kaki

Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Di Laluan Pejalan Kaki

0
SHARE
Polis
Ahmad Jawila menujukkan lokasi kejadian ( Sumber Foto: Ihsan IPD Labuan )

LABUAN – Seorang lelaki ditemui maut yang disyaki terkena renjatan elektrik di laluan pejalan kaki Jalan Tanjung Purun, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata pihaknya dihubungi pada jam 12.05 tengah malam dan menerima maklumat daripada abang mangsa.

Mengulas lanjut, abang kepada mangsa memaklumkan menjumpai adiknya yang terbaring dan tidak sedarkan diri di laluan pejalan kaki terbabit.

Pihak ambulans kemudian tiba dan mengesahkan mangsa dari Sook, Keningau, Ryandeigo Roselee, 18, telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Polis kemudian menghubungi Hospital Labuan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Perbadanan Labuan untuk tindakan lanjut.

“SESB dan Perbadanan Labuan bertindak pantas memutuskan bekalan elektrik di lokasi sebagai tindakan pencegahan dan menyiasat punca kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di laluan pejalan kaki berkenaan disyaki akibat terkena renjatan elektrik pada tiang lampu jalan,” katanya dalam satu kenyataan media. 

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang terdapat bekalan atau punca arus elektrik.

“Ia bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku khususnya pada musim hujan ketika ini di Labuan,” katanya.