KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memohon peruntukan khas untuk menyelesaikan isu bekalan air yang sudah berlarutan sejak sekian lama di Sabah.
Memetik sumber Bernama, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu berkata, peruntukan khas itu sangat diperlukan untuk memastikan semua rakyat yang tinggal di Sabah khususnya di kawasan luar bandar negeri itu mendapat bekalan air yang bersih.
“Saya tahu bekalan air di Sabah sangat mengecewakan, banyak rungutan yang kita dengar khususnya ketika musim perayaan ini. Orang mahu beraya pun susah kerana tiada air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Badan Perhubungan UMNO Sabah di sini, hari ini.
Selain itu, menurutnya bekalan air, terdapat masalah lain yang perlu diberi perhatian di Sabah termasuk jalan raya dan elektrik.
Susulan itu, beliau juga akan memohon untuk menambah peruntukan khususnya untuk Sabah melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ahmad Zahid berkata kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan sebanyak RM600 juta untuk menyelesaikan isu infrastruktur di Sabah termasuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan baik pulih rumah daif.
“Saya harap peruntukan ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat khususnya masalah air, jalan raya dan elektrik, oleh itu untuk memastikan semuanya berjalan lancar, kestabilan politik perlu dijaga,” katanya.





