KUALA LUMPUR: Sebanyak lebih kurang 3,064 aduan berkaitan ketirisan barang subsidi seperti minyak diesel, gas memasak, minyak masak dan lain-lain telah diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bermula 1 Januari hingga 30 November tahun ini.
Menterinya, Datuk Mohd Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah tersebut, minyak masak menduduki tempat pertama antara barang kawalan yang terima aduan tertinggi dengan aduan sebanyak 1,862.
“Diikuti, gula (282 aduan), berkaitan diesel (246 aduan), gas memasak (LPG) sebanyak 173 aduan dan aduan berkaitan lain-lain barang kawalan seperti petrol, telur ayam, tepung gandum dan ayam,” katanya dalam sidang Parlimen, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Senator Abun Sui Anyit yang bertanya mengenai jumlah aduan penyelewengan barang bersubsidi dan berapakah jumlah tangkapan yang dibuat dan jumlah yang dituduh di mahkamah mengikut daerah di Sarawak.
Dalam pada itu, Armizan berkata, bahagian Penguatkuasa dan Pejabat-Pejabat Negeri KPDN seluruh negara telah melaksanakan aktiviti penguatkuasaan termasuk tindakan kes terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan.
Menjawab soalan mengenai jumlah tangkapan, Armizan berkata, bermula Januari tahun 2024 sehingga 30 November, sebanyak 16
tangkapan telah dilakukan oleh KPDN Sarawak.
“Tangkapan mengikut pecahan pula, 10 tangkapan oleh KPDN Kuching dan 6 tangkapan dilakukan oleh KPDN Miri.
“Jumlah tangkapan tersebut adalah sebahagian daripada sejumlah 127 kes yang dihasilkan di Sarawak sepanjang tempoh yang sama,” jelasnya.