Pendidikan Islam Penting Bentuk Modal insan Sabah Berakhlak – Tun Musa

Pendidikan Islam Penting Bentuk Modal insan Sabah Berakhlak – Tun Musa

0
SHARE

KENINGAU: Pendidikan berteraskan Islam perlu terus diperkasa bagi melahirkan modal insan Sabah yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai akhlak, nilai insaniah dan jati diri yang kukuh, kata Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun (Dr) Musa Aman.

Beliau berkata, pendekatan itu penting dalam membentuk generasi yang mampu menyumbang secara bermakna kepada agama, masyarakat dan pembangunan negeri.

Berpaksikan asas ilmu yang jitu, akhlak yang terpuji serta jati diri yang utuh, kita mampu melahirkan generasi pelapis yang bukan sahaja cemerlang malah mampu memberikan sumbangan yang bermakna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata pembangunan generasi berilmu, kompeten dan menghayati nilai murni merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang perlu terus diperkasa.

Musa berkata pendekatan pembangunan modal insan melalui bidang pengajian Islam juga selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya serta gagasan Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, keyakinan dan ihsan.

Dalam perutusan sempena Majlis Konvokesyen IPDAS Ke-20 di Dewan Tun Sakaran di sini hari ini, beliau turut menggesa IPDAS terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang berwibawa, khususnya dalam memperkasa dakwah berasaskan ilmu, hikmah dan toleransi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para graduan atas kejayaan mereka serta menghargai pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang menjadi sumber sokongan sepanjang pengajian.

Musa turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah atas komitmen serta bantuan dalam memperkukuh kemudahan dan peluang pendidikan untuk anak-anak Sabah.