KOTA KINABALU: Sambutan Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 pada 31 Ogos ini akan memberi tumpuan kepada generasi muda dengan pengisian yang bertujuan menyemai semangat nasionalisme, keyakinan diri serta kesedaran mengenai peranan mereka dalam membina masa depan negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar mengenang perjuangan generasi terdahulu, sebaliknya perlu menjadi medan untuk melihat ke hadapan dan meneruskan pengisian kemerdekaan.
Menurutnya, hampir keseluruhan pengisian sambutan Hari Sabah pada sebelah malam akan memberi penekanan kepada golongan muda, termasuk persembahan hiburan yang turut membawa pengisian mengenai semangat nasionalisme, keyakinan diri dan peranan generasi muda dalam membina masa depan Sabah.
“Kita sama taraf, sama tinggi dan sama rendah dengan bangsa lain di mana-mana juga di dunia. Ini yang perlu kita tekankan dan terapkan dalam diri orang-orang muda kita.
“Jangan jadikan masalah itu sebagai pembunuh cita-cita kita. Jadikan ia sebagai motivasi penting untuk membakar semangat kita untuk maju ke hadapan,” katanya dalam sidang media khas sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini.
Masidi yang juga Menteri Kewangan turut menjadikan kejayaan artis Sabah di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) seperti Reynald Guntabid yang meraih tempat ketiga baru-baru ini sebagai contoh bahawa anak negeri mempunyai kemampuan dan pencapaian yang wajar dibanggakan.
Katanya, sambutan tahun ini membawa tagline “Kebersamaan: Satu Bangsa, Satu Negara”, dengan golongan muda digalakkan bukan sahaja hadir, malah memainkan peranan dan menyumbang kepada kejayaan acara berkenaan.
Sementara itu, sambutan Hari Kebangsaan pada sebelah pagi akan bermula seawal jam 6 pagi dengan kira-kira 180 pasukan daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah rendah dan menengah memohon menyertai perarakan.
Program berkenaan turut menampilkan pameran aset, manakala sambutan Hari Sabah pada sebelah malam akan dimeriahkan dengan perarakan etnik, persembahan koir, kereta berhias serta persembahan khas “Aneka Warna” menggunakan asap berwarna merah, kuning dan biru yang melambangkan warna bendera Sabah.
Masidi berkata pertunjukan laser akan digunakan pada sambutan berkenaan, yang menurutnya dapat menjimatkan sedikit perbelanjaan dalam keadaan ekonomi semasa berbanding penggunaa bunga api.
Beliau berkata, berdasarkan sambutan tahun lalu yang menyaksikan kira-kira 30,000 hingga 40,000 orang hadir pada sebelah pagi, jumlah kehadiran yang hampir sama turut dijangkakan bagi sambutan tahun ini.






