Ajaran Sesat: KDN Teliti Aspek Pelanggaran Ketenteraman Awam

Ajaran Sesat: KDN Teliti Aspek Pelanggaran Ketenteraman Awam

0
SHARE
Datuk Seri Saifuddin Abdullah...

PUTRAJAYA, SELANGOR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti sama ada wujud aspek pelanggaran ketenteraman awam dan keselamatan dalam ajaran Ahmad – Agama Keamanan dan Cahaya.

Memetik sumber Berita Harian, menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya juga akan membuat semakan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung perkara itu.

“Saya difahamkan menteri agama (Mohd Na’im) sudah mengeluarkan kenyataan. Itu dari sudut ada pelanggaran agama dan undang-undang.

“Dari sudut KDN, aspek ketenteraman awam dan keselamatan. Jadi, saya akan bekerja sama dengan menteri agama untuk melihat aspek mana yang ada unsur-unsur yang dianggap boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya di sini, semalam.

Beliau turut memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima laporan lanjut daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkembangan siasatan ajaran berkenaan.

“Setakat ini saya belum dapat apa-apa laporan, mungkin ada cuma PDRM belum ‘update’ (kemas-kini) saya, saya akan semak dulu.

“Saya juga akan semak dengan menteri agama lagi. Sebab jika ia di bawah penguatkuasaan dan kawalan, tentu kita boleh aktifkan bahagian penguat kuasa (KDN) jika memang wujud perkara disebut,” katanya.

Semalam Mohd Na’im berkata, ajaran Ahmad – Agama Keamanan dan Cahaya bertentangan dengan syariat Islam,

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan semua kandungan di media sosial mengenai ajaran itu diturunkan seberapa segera bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh.

Katanya, langkah bagi menurunkan kandungan ajaran berkenaan di media sosial itu sudah dibincangkan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan PDRM.

Kelmarin, melalui penstriman langsung di media sosial, ajaran sesat menggunakan nama Ahmad – Agama Keamanan dan Cahaya, mendakwa Kaabah tidak lagi berada di Makkah, sebaliknya Petra dan kemunculan Imam Mahdi sebagai jelmaan semula imam ke-12 Syiah serta Nabi Muhammad SAW.

Dalam siaran itu, tiga lelaki dikesan menggunakan nama Kasyfullah, Ahmad Khairul Hadi dan Maznan menyebarkan dakyah itu dengan mendakwa umat Islam ditipu oleh ulama bersekongkol dengan kerajaan sejak zaman Khulafa’ ar-Rasyidin.

Kumpulan itu dikesan menggunakan media sosial untuk menyebarkannya termasuk mengadakan penstriman langsung di TikTok.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai akaun TikTok dipercayai milik bishop atau ketua ajaran itu yang mempunyai lebih 30,000 pengikut dan mendapat sambutan apabila membuat penstriman langsung di media sosial.