Kluster Tatakelola, Antirasuah Pastikan Pengurusan Dana Awam

Kluster Tatakelola, Antirasuah Pastikan Pengurusan Dana Awam

0
SHARE
Kluster
Gambar kenangan ketua-ketua jabatan dan badan berkanun persekutuan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kluster Tatakelola dan Antirasuah memfokuskan tiga hala tuju utama bagi memastikan pengurusan dana awam dapat diuruskan dengan baik.

Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP), Datuk Makhzan Mahyuddin berkata tiga hala tuju utama kluster tersebut adalah dana awam, peruntukan khas kerajaan serta penguatkuasaan dan perolehan dalam mencegah ketirisan dana kerajaan.

“Kluster ini merupakan kerjasama antara Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (PSUP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah dalam memberi pendedahan kepada penjawat awam persekutuan agar dapat melaksanakan tugas berdasarkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Sebagai penjawat awam, budaya berintegriti dan menolak rasuah perlu menjadi amalan bagi meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan pentadbiran persekutuan di Sabah khususnya terutama jabatan ataupun agensi yang berisiko tinggi,” jelas beliau.

Selain itu, Makhzan memaklumkan kluster tersebut akan mengukuhkan lagi kerjasama antara jabatan dan badan berkanun persekutuan melalui perkongsian cadangan penambahbaikan dalam memastikan pelaksanaan program lebih berstruktur serta mengikut hala tuju yang ditetapkan.

“Pelbagai program akan diadakan dalam memberi pendedahan kepada penjawat awam persekutuan agar dapat melaksanakan tugas mengikut peraturan yang ditetapkan dan akan menjauhi rasuah,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah bilangan 1/2024 di sini.

Makhzan berharap kerjasama yang erat antara jabatan dan agensi termasuklah badan berkanun adalah penting dalam menjayakan apa jua hasrat yang telah diberikan oleh pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Saya yakin bahawa pertemuan ini akan menjadi platform yang baik untuk berkongsi informasi dan mengukuhkan kerjasama serta meningkatkan sinergi di antara jabatan-jabatan dan badan-badan berkanun Persekutuan,” tambahnya.

Sebanyak 156 jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan di Sabah hadir pada mesyuarat berkenaan bagi mendengar amanat yang disampaikan SUP Sabah serta berkongsi informasi, perkhidmatan serta program baharu dari sembilan agensi. — JABATAN PENERANGAN SABAH