KERAKUSAN ORANG TENGAH PUNCA KES SETINGGAN HARAM MASIH WUJUD DI SEKITAR KOTA...

KERAKUSAN ORANG TENGAH PUNCA KES SETINGGAN HARAM MASIH WUJUD DI SEKITAR KOTA KINABALU

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerakusan ‘Orang Tengah’ dalam menjana keuntungan yang menjanjikan turut memberi keuntungan dalam bentuk lot tanah kepada pihak yang terlibat antara punca kepada kes pembangunan rumah setinggan secara haram di atas tanah milik Kerajaan Negeri masih wujud di sekitar daerah Kota Kinabalu.

Bukan sahaja ‘si penceroboh’ dapat tinggal bebas dari sewa bulanan, malah individu ataupun ‘Orang Tengah’ yang mendakwa sebagai pemilik tanah kemudiannya menjual lot tanah dengan harga ribuan ringgit turut ‘kenyang’ dengan hasil jualan itu.

Meskipun beberapa kali percubaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merobohkan struktur-struktur haram ini, hanya dalam masa beberapa minggu sahaja rumah baru akan muncul bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Beberapa rumah setinggan yang didirakan pada tanah milik Kerajaan Negeri…

Begitulah kejadian di tanah milik Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) seluas 145 ekar berhampiran Kampung Labau Aman di Menggatal di sini.

Tinjauan SabahNews mendapati ada antara pemilik lot palsu sanggup menanggung kos sebanyak RM 40,000 bagi mendirikan rumah konkrit yang lebih selesa.

Rumah konkrit dalam proses pembinaan…

“Siapa tidak mahu, bangun pagi nampak pemandangan Gunung Kinabalu, udara segar dan sejuk, sunyi lagi tu,” kata seorang wakil syarikat pemaju yang turut hadir dalam pemberian notis pengosongan bersama pihak DBKK pada pukul 3 petang kelmarin.

Ini bukanlah kes terpencil, tetapi sedang berlaku di lebih 10 kawasan pada sekitar daerah sehingga wujudnya Ketua Kampung yang dilantik bagi perkampungan tidak rasmi.

Difahamkan, penjawat awam juga di antara kalangan penghuni di kawasan tersebut yang mana cuba menjimatkan kos sara hidup ataupun ‘lari’ daripada kehidupan lama mereka.

Lebih menghairankan adalah keyakinan sesetengah individu yang sanggup menyewa jentera untuk meratakan tanah milik Kerajaan bagi untuk mendirikan rumah mereka.

Tanah milik Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar yang siap diratakan mangsa terpedaya…

Pada lokasi ini, pihak yang rugi adalah sebuah stesen minyak Petronas di bawah kaki bukit di mana bekalan air dicuri dan juga bekalan tenaga elektrik Kerajaan Negeri.

Bilik mandi tanpa rumah setinggan di atas kaki bukit tanah milik Kerajaan Negeri…
Paip yang disambung secara haram untuk mencuri air disyaki dari sumber sebuah stesen minyak berhampiran…

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKK, Mukti Haji Muchlish berkata, ini kali ketiga dalam tempoh dua tahun pihak mereka memberikan penghuni notis pengosongan. Ianya cuba ditangani sejak sebelum penularan pandemik COVID-19.

“Perkara ini telah dibicarakan di makhamah, tetapi masih ramai lagi yang ingkar dengan notis dan pilih untuk terus kekal di tanah ini…

“Kami mendapati bilangan rumah bertambah, dan lebih 30 individu mengaku tanah itu milik mereka…mungkin ramai daripada mereka masih terpedaya dengan ‘Orang Tengah’ yang menjanjikan lot-lot kampung.

“Orang awam yang mendapat tawaran yang terlalu baik serupa ini perlulah menyiasat terlebih dahulu dengan Jabatan Tanah dan Ukur dan juga DBKK akan kesahihannya,” katanya.

Mukti berbual dengan pemilik rumah yang bakal dirobohkan dalam masa sebulan dari tarikh 10 September 2021…
Mukti turut berbual dengan rumah yang lebih mewah dibina di atas bukit tersebut…

Menurut beliau, ‘Orang Tengah’ ini akan menggunakan surat Permohonan Tanah sebagai tanda bukti hak milik tanah bagi mengaut untung.

“Selain dari ditipu, penghuni sini juga telah menggunakan lebih banyak duit lagi untuk meratakan tanah selain kos untuk mendirikan rumah mereka…

“Pada tahun lepas pihak DBKK sudah membuat pengularan notis tapi sekarang kami kembali dengan perintah makhamah kerana ada seorang pemilik yang cuba mempertikaikan hal ini.

“Keputusan makhamah minggu lepas berpihak kepada LPPB yang memberikan penceroboh kawasan ini tempoh masa sebulan untuk mengosongkannya,” jelas Mukti.