Jambatan Sungai Damit Diharapkan Dapat Digunakan Pada Penghujung November Ini – Jahid

Jambatan Sungai Damit Diharapkan Dapat Digunakan Pada Penghujung November Ini – Jahid

0
SHARE
JAHID mendengar penerangan ringkas daripada Petrocelli dan wakil konsultan yang hadir...

TAMPARULI, SABAH – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, mengharapkan agar Jambatan Sungai Damit dapat digunakan sepenuhnya pada pengujung November ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau ketika mengadakan lawatan kerja ke jambatan berkenaan pada Jumaat baru-baru ini.

“Hari ini (Jumaat), bersama dengan kepimpinan daerah, kita telah melawat Jambatan Sungai Damit bersama pegawai-pegawai yang berkaitan di peringkat negeri dan daerah untuk bertemu dengan pihak pemaju dan konsultan yang dipilih,” katanya.

Ditanya keadaan terkini jambatan Sungai Damit, katanya, biarlah kementerian yang bertanggungjawab untuk membuat kenyataan mengenainya nanti.

“Bagaimanapun, selaku Wakil Rakyat di kawasan Tamparuli, kita berharap jambatan ini sudah boleh dilalui kenderaan pada hujung November nanti,” katanya yang juga Wakil Rakyat Tamparuli.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Jambatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Petrocelli Joseph, Jurutera JKR Daerah Tuaran, Farini Awang, Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Madin Anak.