Polis Berjaya Patahkan Sindiket Dadah Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Polis Berjaya Patahkan Sindiket Dadah Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU – Polis sekali lagi berjaya menahan beberapa ahli sindiket dadah yang menyeludup masuk 7.2 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM 500,000 ke negeri ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada Ahad baru-baru ini.

Memetik kenyataan portal Suara Sabah, dipetik sebagai berkata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din bahawa, empat suspek berumur 27 hingga 39 tahun ditahan sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam dua serbuan berasingan dalam tempoh beberapa jam sahaja.

“Kedua-dua suspek pertama ditahan sebaik keluar dari pesawat yang tiba dari Johor di LTAKK pada jam 10.15 pagi.

“Polis merampas dua beg dibawa suspek dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh bungkusan plastik bersaiz besar dipercayai dadah jenis syabu di dalamnya.

“Kesemua dadah seberat 7.2kg yang bernilai RM500 ribu pada harga pasaran tempatan kemudiannya dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di IPK Sabah pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain dan Ketua JSJN Sabah Superintendan Mohamed Fadzil Rahman.
Ramli berkata, susulan tangkapan dua suspek pertama pihaknya kemudian menahan dua lagi suspek beberapa jam kemudian di pusat bandar.

Hasil siasatan mendapati bekalan dadah yang dirampas akan diedar dan digunakan untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, kejayaan tangkapan sindiket dadah kali ini adalah rampasan kedua terbesar tahun ini selepas kejayaan pertama pada 4 Januari membabitkan 10 paket syabu bernilai RM1 juta dalam bungkusan teh.