SUNGAI SIPUT – Pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Abdul Wahab menzahirkan semangat kemerdekaan dengan menyiapkan Jalur Gemilang gergasi .
Pengetuanya, Roslan Muhammad, berkata bendera yang dijahit dan dicantumkan secara bersama-sama oleh warga sekolah itu memerlukan kos sebanyak RM2,000.
Beliau berkata, bendera berkenaan digantung di antara dua blok bangunan di sekolah berkenaan sepanjang bulan kemerdekaan.
“Inisiatif ini bagi menzahirkan semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah.
“Guru dan pelajar memanfaatkan waktu mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan selama dua minggu untuk sama-sama berganding tenaga menyiapkan bendera ini,” katanya kepada pemberita di majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Bulan Kemanusiaan 2017 di sekolah itu di sini hari ini.
Selain menyumbang tenaga, Roslan berkata, pelajar dan guru juga menyumbang wang bagi menyiapkan bendera besar itu.
Sementara itu, Ketua Pelajar, G Kavinesh, 16, berkata beliau berbangga dengan inisiatif dilakukan oleh pentadbiran sekolahnya dalam memupuk perasaan cintakan negara
Katanya, sekolah lain juga patut mencontohi projek patriotisme seperti itu.
“Program sebegini dapat mengurangkan jurang antara kaum dengan cara bersama-sama menyemai kecintaan kepada negara,” katanya.
INFO PENGHASILAN JALUR GEMILANG GERGASI:
1. Melibatkan 900 orang pelajar dan 62 orang guru.
2. Saiz jalur gemilang gergasi adalah 29 meter panjang dan 8 meter tinggi.